May 20, 2022 - FASEnam perlawanan saingan Liga Premier 2022 telah ditempuh oleh pemain-pemain muda pasukan ‘feeder’, Selangor FC 2 setakat ini.
Untuk pengetahuan, Selangor FC 2 kini berada di kedudukan tempat keenam dalam saingan Liga Premier 2022 dengan sembilan mata terkumpul daripada dua kemenangan, tiga seri dan satu kekalahan. Baca perkembangan terbaru pasukan di sini
Ketua jurulatih pasukan, Rusdi Suparman tidak menafikan beliau mengharapkan keputusan yang lebih baik akan tetapi beliau juga menerima hakikat pasukan mudanya ini memerlukan masa untuk mencapai sasaran tersebut.
"Tidak saya nafikan berada di kemuncak carta Liga Premier adalah harapan setiap ketua jurulatih. Sekarang kita di tempat keenam, sepatutnya kita berada di tempat lebih baik tetapi disebabkan kekurangan dari segi pengalaman dan kita tidak mengambil peluang untuk menjaringkan gol, kita terlepas beberapa peluang keemasan untuk memperbaiki kedudukan pasukan.
Sebagai ketua jurulatih terutama sekali dalam mengendali pasukan pembangunan, saya tidak mengharapkan seseorang individu sahaja tetapi saya dan barisan jurulatih sama-sama berusaha membantu setiap pemain muda ini mendapatkan peluang yang secukupnya untuk menyerlahkan lagi bakat mereka.
Untuk mereka matang dalam padang pastinya memerlukan masa yang panjang, nak lagi pemain-pemain saya beraksi bersama rakan sepasukan lingkungan umur dan pengalaman yang lebih kurang sama sahaja," tegas Rusdi.
Namun Rusdi sempat berkata bahawa beliau dan barisan jurulatih yang lain terus percayakan pemain-pemain muda ini akan berusaha untuk memecah rekod kemenangan Kelantan FC pada hari Ahad ini. Beliau yakin ini akan menjadi pemangkin semangat anak buahnya. Beli tiket perlawanan di: https://ticket.tickethotline.com.my/club/selangor/4/home
Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan dan berharap projek pembanggunan ini berjaya menghasilkan pemain-pemain yang berkualiti untuk masa hadapan kelab dan kancah bola sepak Malaysia.
Demi Kebanggaan!